Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Khasiat Dan Kelebihan Kacang Botor


Pokok kacang botor merupakan sejenis pokok menjalar yang tumbuh dengan cara memanjat atau melilit. Setinggi 3-4 meter, pokok ini adalah lebih tinggi dan besar, berbanding pokok kekacang biasa yang lain. Ia ialah tumbuhan herba saka dengan tempoh pengeluaran optimum di antara tiga hingga empat tahun, tetapi juga boleh ditanam sebagai pokok semusim mengikut kegunaan penanamannya.

Pokok kacang botor merupakan salah satu tumbuhan pengikat nitrogen yang terbaik dengan penodulan dilaksanakan oleh Rhizobium, sejenis bakteria tanah. Disebabkan keupayaannya untuk mengikat gas nitrogen dari atmosfera, pokok ini tidak memerlukan banyak baja nitrogen tetapi masih memerlukan baja lain seperti fosforus dan kalium.

Sebagai pokok tropika, ia amat peka akan fros. Pokok ini tidak akan berbunga jika panjang siang melebihi 12 jam. Biji benihnya mempunyai kulit yang keras, dan untuk membantu percambahan, biji benih boleh direndam sebelum menanam. Pokok ini bertumbuh dengan cepat, dan mencapai panjang sebanyak empat meter dalam hanya tempoh beberapa minggu sahaja.

Pokok kacang botor amat berguna kerana hampir semua bahagian tumbuhan ini boleh dimakan:

  • Lenggai mudanya yang digunakan sebagai sayur atau ulam merupakan bahagian tumbuhan yang paling banyak dimakan, dan boleh dituai dalam tempoh 2-3 bulan selepas penanaman.
  • Buah yang muda dan lebut dijadikan sayur mentah, digoreng, dibuat kerabut atau jenis makanan lain dan ia mempunyai rasa yang hampir sama dengan pucuk asparagus.
  • Bunga sering digunakan untuk mewarnakan beras dan pastri.

Daun muda boleh dimasak sebagai sayur daun dan rasanya hampir serupa dengan daun bayam.
Ubinya yang mempunyai perisa seperti kacang tanah boleh digunakan sebagai sayur berubi dan ia hampir serupa dengan ubi kentang. Akar pokok ini lebih kaya protein berbanding ubi kentang. Ia amat digemari di Papua New Guinea dan juga amat popular di negara Myanmar sebagai juadah makanan.

Biji yang masak telah diiktiraf sebagai makanan yang berkhasiat kerana mengandungi banyak protein seperti kacang soya. Biji kacang botor boleh diproses seperti kacang soya iaitu dijadikan pelbagai produk yang boleh dimakan atau diminum.

Ia ditanam secara biji dan akan bercambah antara 5-7 hari selepas disemai, bergantung kepada varieti. Lebih kurang dua bulan setengah selepas disemai, ia akan mula berbunga, tetapi ada jenis baka yang berbunga selepas lima bulan ia ditanam. Buah kacang botor mencapai panjang maksimum dalam masa 20 hari selepas berbunga dan masih lembut ketika itu, serta sesuai dijadikan sayur. Ia matang dalam masa 65 hari selepas berbunga.
AzmanSulaiman
AzmanSulaiman Mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah seperti menulis blog

Catat Ulasan for "Khasiat Dan Kelebihan Kacang Botor"


~~ TENTANG PENULIS ~~