Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Permasalahan Isu Riba Dalam Menukar Duit Raya


ISU RIBA DALAM MENUKAR DUIT RAYA

Tukar duit raya, dengan maksud kita bagi RM500 duit terpakai, dan kita dapat duit baharu RM500 dalam denominasi tertentu seperti RM10, atau RM20, adalah tertakluk kepada hukum hakam al-sarf.

Oleh sebab tukar duit raya melibatkan item ribawi iaitu wang kertas, dan melibatkan dua item yang sama iaitu ringgit ditukar dengan ringgit, maka WAJIB menepati dua syarat:

1. Penyerahan duit terpakai dengan duit baharu berlaku dalam satu sesi/majlis tanpa penangguhan. Jika ada penangguhan maka berlaku RIBA NASA’;
2. Pertukaran hendaklah dengan kadar yang sama, tanpa ada lebihan. Jika ada lebihan maka berlaku RIBA FADHL.

Mari kita aplikasikan dua syarat di atas pada senario-senario di bawah:

SENARIO 1:
A mahu menukar duit raya sejumlah  RM1000 daripada B.
A serahkan duit terpakai kepada B pada hari ini, kemudian B serahkan duit baharu pada keesokan harinya.

Hukum: Haram kerana berlaku riba nasa’.

SENARIO 2:
A mahu menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada B.
B bersetuju dan mengenakan caj RM10 ke atas A.
Lalu A membayar RM1010 duit terpakai, dan B menyerahkan RM1000 duit baharu.

Hukum: Haram kerana berlaku riba fadhl.

SENARIO 3:
A mahu menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada B.
A mewakilkan C untuk menukarkan duit dengan B.
C sebagai wakil mengenakan caj sebanyak RM10 ke atas A.
A menyerahkan RM1010 kepada C, dan keesokannya C mambayar RM1000 kepada B, dan B membayar RM1000 duit baharu kepada C.
C kemudian menyerahkan RM1000 duit baharu itu kepada A.

Hukum: Harus, kerana tidak berlaku riba. Kelewatan antara A dan C adalah kelewatan dalam bab wakalah.
Manakala transaksi al-sarf berlaku antara B dan C tanpa penangguhan.

Lebihan RM10 juga adalah berlaku dalam bab wakalah sebagai upah wakil. Manakala dalam akad al-sarf tidak berlaku sebarang lebihan.

SENARIO 4:
Maslan ingin menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada Bank XYZ.
Maslan mempunyai seorang kawan, bermama Awang yang bekerja di Bank XYZ tersebut.
Maslan menyerahkan duit RM1000 kepada Awang pada waktu pagi sebelum Awang pergi kerja.
Di Bank XYZ, Awang menukarkan duit Maslan di kaunter tukar duit raya.
Pada sebelah petang, Awang menyerahkan duit raya kepada kawannya Maslan.

Hukum: Tidak ada masalah sekiranya pertukaran duit raya oleh Awang di Bank berlaku secara spot.
Ini kerana ketika Maslan menyerahkan duit kepada Awang, Awang bukan di atas kapasiti pegawai Bank, kerana tukaran duit raya di bank hanya berlaku di kaunter. Jadi ketika Maslan serah duit kepada Awang, ia adalah wakalah.

SENARIO 5:
A ingin menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada B.
A meminta B datang ke tempatnya untuk membuat pertukaran.
B bersetuju dan meminta A membayar kos dia datang ke tempat A.
B lalu menaiki Grab dengan caj RM5.50 dan sampai ke tempat A, lalu berlaku pertukaran RM1000 duit terpakai dengan RM1000 duit baharu.
A membayar caj Grab sebanyak RM5.50 kepada B.

Hukum: Diharuskan, kerana bayaran caj Grab adalah kos sebenar yang dibayar oleh B untuk datang ke tempat A atas permintaan A.

Sumber FB
AzmanSulaiman
AzmanSulaiman Mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah seperti menulis blog

Catat Ulasan for "Permasalahan Isu Riba Dalam Menukar Duit Raya"


~~ TENTANG PENULIS ~~